Grammy Mengiktiraf Carey


Mungkinkah Carey gemilang di Anugerah Grammy tahun ini?

Aku cukup gembira apabila lagu Green Day dicalonkan dalam anugerah Grammy 2006. Lagu mereka berjudul Boulevard of Broken Dreams kesukaan aku. Memang lagu yang menusuk kalbu bagi mereka yang berjiwa rock. (ceh wah!)

Tetapi yang aku terkejut Mariah Carey dicalonkan sekali dalam kategori 'Record of the Year' menerusi balada 'We Belong Together'.

Carey tidak pernah menang Grammy sejak tahun 1991 di mana dia menggondol anugerah Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik dengan single pertamanya, 'Vision of Love'.

Mengikut sejarah, Carey tidak ada rekod prestasi yang baik dengan Akademi Rakaman Amerika, jawatankuasa yang menetapkan pemenang Anugerah Grammy.

Pada tahun 1996, Carey dicalonkan untuk 10 anugerah termasuk Album Terbaik untuk 'Daydream'. Malangnya Carey tumpas kepada bintang baru Alanis Morissette yang namanya mula melonjak pada masa itu.

Morissette merampas gelaran Album Terbaik Grammy daripada Carey dengan 'Jagged Little Pill'; manakala Seal menang Rekod Terbaik Tahunan dengan 'Kiss From a Rose' mengalahkan gandingan Carey bersama Boys II Men, 'One Sweet Day'.

Mengikut legenda, suami Carey pada masa itu (pengurus Sony Music Tommy Mattola) telah manganjurkan parti besar-besaran untuk Carey selepas majlis anugerah Grammy. Sememangnya Sony Music menjangkakan dia akan menang besar pada tahun itu.

Sebaliknya penonton television melihat wajah murung carey sepanjang siaran langsung Grammy apabila satu-persatu anugerahnya dimenangi orang lain.

Mungkinkah tahun ini Carey kembali gemilang di malam Anugerah Grammy? Yang pastinya Carey tidak lagi dikongkong oleh telunjuk Mottola yang didakwa sentiasa mahukan dia menyanyi lagu-lagu balada yang dianggap selamat. Mungkin juga bintang berusia 35 tahun ini tak memerlukan pengiktirafan Grammy untuk meyakinkan dirinya. Carey adalah antara vokalis wanita paling laris di dunia, dan dia mempunyai jutaan peminat.

Album 'The Emancipation of Mimi', yang sarat dengan melodi hip-hop, dicalonkan dalam kategori 'Album of The Year'.

Jika dia menang Grammy tahun ini, sekurang-kurangnya dia menang kerana dia mencipta muzik yang datang daripada hatinya. Muzik yang dibuat mengikut cara Carey yang tersendiri.

Comments

Popular Posts